CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Teknik lakonan improvisasi dalam konteks persembahan Mak Yong

Ternyata melakukan persembahan Mak Yong bukanlah sesuatu yang mudah. Apa yang menarik mengenai persembahan ini adalah penggunaan improvisasi. Pada awalnya, kami diberi skrip Anak Raja Gondang. Kami mula menghafal dan memahami skrip yang diberi. Masalah timbul apabila skrip itu sukar difahami oleh para pelakon kerana ia menggunakan bahasa Kelantan. Keadaan ini menyukarkan lagi proses penghafalan kerana terdapat banyak perkataan yang baru petama kali dijumpai. Kemudiannya, kami diberitahu bahawa skrip itu hanya bertindak sebagai pembimbing jalan cerita. Jadi kami hanya perlu memahaminya dan menyampaikan lakonan mengikut cara kami sendiri. Dialog-dialog yang terdapat di dalam skrip boleh diimprovisasi mengikut keselesaan para pelakon. Namun, para pelakon mesti menyedari ruang lakonan yang dimainkan agar jalan cerita tidak lari daripada asalnya.Terdapat beberapa faktor yang membolehkan para pelakon memperkayakan improvisasi dalam lakonan, iaitu pengamatan, daya sensitif, daya imaginasi, daya konsentrasi dan kepetahan.

a)            Pengamatan

“....mengamati manusia, menentukan sifatnya-sifatnya,tingkah lakunya dan cara-cara manusia bertindak aksi terhadap situasi yang berbagai. Pengamatan yang teliti akan memperkayakan perbendaharaan pelakon dengan kepelbagaian ciri yang terdapat pada manusia.”
(Abdul Samat Salleh, 2005)

Dalam konteks lakonan Mak Yong, pengamatan watak-watak seperti Raja, Permaisuri, Puteri, Inang dan Awang pengasuh membantu pelakon untuk menyampaikan watak-watak mereka dengan lebih jelas. Sebagai contoh, watak Awang pengasuh atau peran merupakan watak lucu dan clumsy. Apabila pelakon yang memegang watak ini mengamati wataknya, mereka akan tenggelam ke dalam watak. Keadaan ini membantu pelakon bermain dengan wataknya tanpa mengambil kira sifat realiti mereka. Walaupun watak peran tidak ada dalam realiti, pengamatan boleh dilakukan dengan menonton siri-siri lakonan watak ini dalam persembahan-persembahan Mak Yong yang lalu. Selain itu, pengamatan melalui pembacaan juga membantu pelakon menyelusuri watak-watak yang dibawanya. Pengamatan yang dilakukan membantu pelakon memperkayakan improvisasi dalam penyampaian dan persembahan bisnes, pergerakan dan dialog. 

b)            Daya Sensitiviti

Improvisasi memerlukan daya sensitiviti yang tinggi. Improvisasi ialah lakonan yang menghasilkan lakonan dan aksi secara spontan. Oleh itu, para pelakon perlu peka akan setiap perkara yang berlaku disekeliling mereka. Mereka perlu respon terhadap sebarang gerakan improvisasi yang dilakukan oleh rakan lakon atau perkara luar jangka yang berlaku semasa persembahan. Dalam Mak Yong, tiada skrip tetap dilontar. Dialog dan aksi akan sentiasa berubah-ubah setiap kali latihan. Pelakon akan cuba bertindak balas dengan pergerakan improvisasi yang dilakukan oleh rakan lakon. Sebagai contoh, babak peran dengan Tengku. Pergerakan peran adalah tidak dijangka dan tidak boleh diplan. Ia berlaku pada waktu mereka sedang berlakon secara spontan. Oleh itu,Tengku akan menjawab persoalan atau respon terhadap segala pergerakan yang dilakukan oleh peran. Di sini ketinggian darjah sensitiviti diperlukan agar lakonan yang dilakukan disambut oleh rakan lain. Jika tidak, babak itu akan menjadi kosong dan idea lakonan tidak dapat disampaikan dengan baik.

c)            Daya Imaginasi

Menurut Schreck (1970), imaginasi merupakan fakulti yang membawa pelakon melampaui dunia terkini kepada dunia pura-percaya. Cara terbaik untuk tenggelam dalam dunia lakonan ialah dengan membayangkannya. Dengan cara ini pelakon akan melihat dunia ilusi yang dimainkan. Mak Yong  Anak Raja Gondang merupakan sebuah cerita ilusi yang tidak diketahui bayangan kehidupan mereka. Oleh itu para pelakon perlu membayangkan dunia itu. Pelakon perlu membayangkan suasana istana, taman dan kampung yang terdapat dalam penceritaan itu. Mereka juga perlu membayangkan watak mereka sebagai puteri atau watak-watak sebenar yang ada dalam cerita. Keadaan ini membantu pelakon mengimprovisasikan lakonan mereka dengan lebih rancak dan menyeronokkan. Mereka seolah-olah manusia sebenar dalam cerita yang dipersembahkan. Perkara yang paling penting adalah mereka mampu meyakinkan penonton bahawa mereka adalah watak sebenar dalam lakonan itu.

d)            Daya konsentrasi

Menurut Schrek (1970), daya konsentrasi bermakna membebaskan minda daripada perkara-perkara yang tidak relevan dan meresap ke dalam pemikiran dan perlakuan yang diperlukan cerita ketika itu. Pelakon perlu fokus dalam lakonannya dan keseluruhan aspek persembahan seperti dialog, rakan lakon dan pergerakan. Ia adalah sangat penting kerana ia akan mempengaruhi keyakinan pelakon dan penonton. Sebagai contoh, watak peran. Bukan mudah untuk melakonkan watak ini. Pelakon perlu menjadi seorang yang lucu dan clumsy. Bagi pelakon yang tidak berperwatakan seperti ini, ianya agak sukar. Bukan semua orang mampu membuat lawak yang boleh diterima sebagai komedi oleh orang lain. Jadi, semasa melakonkan watak peran, pelakon perlu menghilangkan sifat malu. Walaupun lawak yang cuba dipersembahkan tidak diterima dengan baik, pelakon mesti meneruskan lakonan hingga ke akhir. Mainan perasaan seperti “malunya”, “betul ke tidak aku buat ni”, “nak buat ke tidak”, tidak perlu diambil peduli kerana ia akan menurunkan energy dan membuatkan pelakon hilang fokus.

e)            Kepetahan

Menurut Abdul Samat Salleh (2005),

“Pelakon harus cepat bertindak mengeluarkan kata-kata yang bertepatan dengan adegan, babak atau cerita pada saat-saat harian atau bahasa tetapi bahasa-bahasa istana yang berpuitis.”

Mengeluarkan dialog secara spontan adalah sangat penting untuk memastikan setiap babak lakonan tidak kosong dan sentiasa “bersambut”. Apabila seorang pelakon mengeluarkan kata-kata, rakan lakon yang lain perlu menyambut kata-kata itu dengan cepat agar tidak terwujud ruang kosong dalam permainan. Pelakon perlu menyambut kata-kata teman lakonnya tanpa perlu berfikir panjang. Dialog ini terhasil secara spontan. Daripada awal persembahan, Mak Yong tidak sunyi daripada dialog. Setiap pelakon perlu memainkan perananya menyambung kata-kata rakan lakon yang lain.


0 comments:

Post a Comment