CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Lakonan improvisasi dalam teater tradisional Melayu


Kuritz 1983 mendefinisikan improvisasi sebagai aksi-aksi mainan yang dicipta melalui penganalisisan secara imiginatif dan dicipta berdasarkan keadaan-keadaan ketika itu. Hal ini bermakna para pelakon bermain dengan situasi dan watak yang dipegang dengan menggunakan imaginasi mereka sendiri. Mereka tidak memerlukan arahan atau dialog yang ada di dalam skrip. Segala percakapan dan aksi dicipta sendiri dengan penambahbaikan yang dilihat mampu menjadikan lakonan atau persembahan lebih menarik. Aksi dan dialog dicipta secara spontan dengan mengambil kira lingkungan watak dan ruangan (given circumstances) sesebuah lakonan. Menurut Cohen (1984) pula, improvisasi ialah mempertajamkan watak dan perwatakan. Para pelakon mengimprovisasikan watak mereka tanpa terlalu bergantung pada skrip dan arahan pergerakan yang ada di dalammnya. Improvisasi disifatkan sebagai latihan-latihan pelakon untuk mencipta  pertalian watak tanpa mempedulikan perkembangan watak yang ditulis di dalam skrip.

Bagi para pelakon, improvisasi dalam teater berperanan memperkembangkan lakonan dengan menggunakan imaginasi yang terangsang. Manakala bagi pengarah pula, improvisasi membebaskan pelakon daripada 100% menggunakan skrip. Dengan itu, para pelakon dapat memperoleh pengertian yang subur dan bertenaga. Penggunaan improvisasi membantu pelakon menerokai watak yang dimainkan dalam sesuatu persembahan lakonan. Hal ini akan membawa pelakon tenggelam dalam wataknya sekaligus menghasilkan sebuah persembahan yang natural dan tidak kekok. Pelakon hanya perlu memahami situasi dan watak yang dipegang. Mereka tidak perlu menghafal dialog dan bisnes yang digariskan dalam skrip. Apabila memahami skrip, para pelakon boleh menerokai corak lakonannya sendiri mengikut imaginasi yang tercipta. Improvisasi adalah lakonan yang menghasilkan aksi dan dialog spontan. Jadi para pelakon mesti sentiasa bersedia untuk respon kepada sebarang pergerakan atau percakapan rakan lakonnya.

Improvisasi turut membantu para pelakon untuk menutup (cover) kesalahan diri sendiri dan rakan lakon mereka. Apabila terdapat kesalahan yang tidak disengajakan semasa persembahan, para pelakon boleh membetulkannya dengan mencipta dialog atau aksi spontan. Kecerdasan dan kemahiran pelakon dalam improvisasi menjadi faktor kejayaan atau sebaliknya kepada sesebuah pementasan teater.

            

0 comments:

Post a Comment